Wednesday, September 28, 2011

Penggunaan Mata Wang Di China (Ann Wan Seng)


Negara China mempunyai sejarah yang panjang iaitu lebih 5000 tahun lamanya. Untuk
sekian lamanya, China telah diperintah oleh puluhan dinasti yang memerintah negara itu
secara silih berganti. Hubungan dagang di antara China dan orang Arab telah terjalin sebelum kedatangan Islam lagi. Barang-barang dagangan yang dikeluarkan oleh China
ialah kertas, kain, porselin, sutera dan ubat-ubatan yang ditukarkan kepada gading,
haruman, permata, barangan kaca, rempah ratus dan sebagainya. Perdagangan di antara
kedua-dua belah pihak menjadi semakin rancak dan giat dengan kedatangan para
pedagang Islam ke China semasa pemerintahan Dinasti Tang (618-905M). Dalam
kegiatan perdagangan itu, mata wang seperti dinar dan dirham telah diperkenal dan
diedarkan oleh pedagang Islam di China.

Penggunaan mata wang logam ini berterusan sehingga ke zaman Dinasti Sung (960-
1279M). Bagaimanapun pada pemerintahan Dinasti Yuan atau Mongol (1279-1368M),
penggunaan mata wang kertas telah diperkenalkan. Namun begitu, wang kertas yang
digunakan itu dijamin dengan emas dan diperlakukan mengikut piawaian nilai emas.
Penggunaan dan pengedaran wang kertas secara tidak terkawal di pasaran telah
menyebabkan seluruh percetakan wang kertas dihentikan pada tahun 1311M. Penggunaan
mata wang kertas telah menyebabkan berlakunya krisis ekonomi yang serius pada zaman
pemerintahan Dinasti Yuan. Pemerintah telah menanggung beban hutang yang tinggi dan
mengalami masalah kewangan. Sebagai kesannya, moral kerajaan Dinasti Yuan
mengalami kejatuhan dan kemerosotan sehingga mendorongkan kebangkitan rakyat yang
menjatuhkan pemerintahan tersebut.

Pemerintahan Dinasti Yuan telah digantikan dengan Dinasti Ming (1368-1644M) yang
dianggap sebagai zaman kegemilangan bagi umat Islam di China. Pada masa
pemerintahan Dinasi Ming, para pedagang Islam telah menguasai beberapa bandar dan
pelabuhan di China. Ramai umat Islam didapati bermastautin di Selatan China seperti di
Guangzhou, Guandong, Ningbo dan Hainan. Para pedagang Arab dan umat Islam
dipanggil sebagai Fan Ke atau pendatang luar. Kebanjiran mereka di China telah
mendorong kerajaan Dinasti Ming mendirikan kawasan kediaman bagi mereka yang
dikenali sebagai Fan Fang. Di kawasan penempatan itu dibina Fan Yu iaitu rumah untuk
para Fan Ke. Pemimpin kepada umat Islam dipanggil sebagai Fan Zhang yang
dipertanggungjawab untuk menguruskan hal-ehwal seharian di Fan Fang.

 Berdasarkan kepada fakta sejarah maka sudah jelas kepada kita bahawa komuniti Arab
dan muslim telah mendiami dan menguasai beberapa daerah di China. Ini telah
memberikan ruang kepada mereka untuk menggunakan mata wang logam seperti emas
dan perak di dalam urusan kehidupan seharian serta sewaktu menjalankan urusan
perdagangan dengan para pedagang luar negara. Di antara daerah dan bandar yang
mempunyai majoriti umat Islam ialah Linxia yang dianggap sebagai Makkah Kecil
China, Yunan dan Pelabuhan Zaitun yang terletak di Quanzhou. Pada zaman Dinasti
Ming juga muncul seorang tokoh yang cuku hebat. Beliau ialah Laksamana Haji
Muhammad Cheng Ho yang telah melakukan tujuh kali pelayaran (ada sarjana
mengatakan sepuluh kali pelayaran) ke seluruh dunia.

Wang-wang logam yang digunakan pada zaman Dinasti Ming telah ditemui di beberapa
buah tempat dan negara seperti di Kelantan, Terengganu, Melaka, Brunei, Jawa,
Sumatera dan sebagainya menunjukkan betapa penggunaan wang logam begitu meluas
tidak setakat di dalam negara tetapi juga luar China.Wang logam yang berupa syiling
masih digunakan dalam pemerintahan Dinasti Qing atau Manchu (1644-1912M).Tetapi
penentangan dan pemberontakan yang bertali arus daripada para penduduk tempatan serta
umat Islam telah menyebabkan hubungan dagang dengan dunia Islam hampir terputus.
Kuasa-kuasa Barat dan Jepun mulai masuk seterusnya menguasai ekonomi dan
kekuasaan di negara China secara tidak langsung. Dominasi ekonomi Barat telah
menyebabkan China akhirnya menjadi orang sakit Asia yang tidak lagi dihormati dan
dikagumi seperti mana yang pernah berlaku suatu ketika dahulu khususnya sewaktu
emas, perak dan tembaga menjadi sandaran mata wang yang utama.

KESIMPULAN

Penggunaan mata wang di China dapat dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, logam
yang berupa siling, kepingan dan ketulan emas atau perak. Kedua, wang kertas semasa
pemerintahan Dinasti Yuan atau Mongol tetapi sandaran ialah kepada nilai emas. Ini
menunjukkan betapa logam seperti emas dan perak merupakan asas kepada ukuran dan
piawaian bagi nilai wang digunakan di China sama ada dalam bentuk logam atau pyn
kertas.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More